Peraturan baharu masuk Thailand mulai 1 Oktober

by - September 11, 2017

Peraturan baharu masuk Thailand mulai 1 Oktober


SONGKHLA: Thailand akan melaksanakan peraturan baharu untuk memasuki negara itu di pintu masuk sempadan negara itu dan Malaysia mulai 1 Okt ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Mohd Afandi Abu Bakar.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang hendak memasuki Thailand supaya memahami dan mematuhi peraturan baharu itu serta menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, antara peraturan itu adalah perlu mengisytiharkan kenderaan serta penumpangnya dengan mengisi borang masuk kepada Jabatan Imigresen dan Kastam Thailand.
"Pemandu yang gagal mengisytiharkan kenderaan akan dikenakan denda sehingga empat atau lima kali ganda nilai kenderaan atau kenderaan ditahan dan penjara selama dua tahun," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah meminta maklumat lengkap berhubung peraturan baharu itu daripada pihak berkuasa Thailand dan akan dimuat naik dalam laman web Kementerian Luar apabila memperolehinya.

Katanya walaupun ada antara syarat kemasukan tersebut telah lama dipraktikkan tetapi difahamkan perubahan dibuat bagi memudah dan memperkemas daftar masuk rakyat asing ke Thailand oleh pihak berkuasa negara itu.

Mohd Afandi berkata sepanjang tahun ini sehingga Ogos lepas cuma dua kes kenderaan milik rakyat Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa Thailand kerana melanggar peraturan masuk.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kira-kira 250 rakyat Malaysia sedang menjalani hukuman penjara di selatan Thailand membabitkan pelbagai kesalahan.


-- BERNAMA

Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1389965

You May Also Like

1 comments

  1. MENGISTIHARKAN KENDERAAN DI IMIGRESEN THAILAND & KASTAM THAILAND?? ADAKAH PENGISTIHARAN INI DIKENAKAN BAYARAN???

    ReplyDelete